Halaman

Isnin, 29 Julai 2013

Mengapa Bisnes Gagal - Tiada Kemahiran Komunikasi

Dalam setiap transaksi, anda perlu berkomunikasi dengan orang lain. Kemahiran berkomunikasi penting dalam memastikan kejayaan anda membuat jualan. Sifat malu hanya membantutkan prestasi jualan anda. Dengan komunikasi yang berkesan, anda dapat menjalinkan ikatan, membina kepercayaan dan meningkatkan kredibiliti anda.

Bagi bisnes yang baru hendak bertapak, menumpukan pada media pengiklanan semata-mata tidak memberi hasil yang diimpikan. Anda perlu bertemu sendiri dengan pelanggan secara bersemuka. Teknik komunikasi anda perlu kena pada masa dan tempatnya. Analisis siapa yang berkomunikasi dengan anda. Sesuaikan cara dan isi percakapan anda mengikut latar belakang orang yang berkomunikasi dengan anda.

Cara anda berkomunikasi akan membentuk persepsi orang lain pada diri anda. Persepsi orang lain ke atas anda dapat dibentuk melalui cara anda bercakap dan apa yang anda cakapkan. Oleh itu, beri perhatian pada apa yang keluar daripada mulut anda dan bagaimana anda menyampaikan mesej.

Antara tip bagi meningkatkan kepercayaan orang lain kepada anda:

  1. Jangan sesekali membuat kenyataan yang tidak benar ataupun menokok tambah sesuatu perkara. Menurut kajian, kredibiliti anda menurun apabila anda suka memperbesar-besarkan cerita.
  2. Kenal pasti persamaan yang ada antara anda dan orang yang sedang bercakap dengan anda. Faktor persamaan memberi keselesaan semasa berkomunikasi.
  3. Tonjolkan diri anda sebagai orang yang boleh dipercayai. Orang lebih mudah mendengar kata-kata anda apabila anda dilihat sebagai orang yang mahir, berpengalaman ataupun berpangkat.
  4. Sentiasa bercakap berpandukan fakta yang diyakini, hujah yang logik dan bukti yang sah. Bukti yang dapat memperkukuhkan lagi fakta anda itu adalah dokumen ataupun testimoni daripada pelanggan yang sah.

Dalam perbincangan ataupun penerangan dengan pelanggan anda, perhatikan perkara-perkara berikut:

  1. Tanya soalan-soalan yang memerlukan jawapan yang panjang dan bukan sekadar 'ya', 'tidak', ataupun 'mungkin'. Cuba fahami apa yang mendorong pelanggan membeli sesuatu produk ataupun perkhidmatan.
  2. Apabila pelanggan menyatakan kehendaknya, anda seharusnya mengambil kesempatan bertanyakan lebih khusus apa yang diperlukannya. Dapatkan gambaran tepat  kehendak pelanggan.
  3. Banyakkan mendengar dan kurangkan penerangan yang meleret-leret. Anda terus-menerus menerangkan kelebihan produk anda tetapi pelanggan tidak berminat mendengarnya. Ini memberi peluang untuk anda kehilangan pelanggan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan