Halaman

Isnin, 29 Julai 2013

Mengapa Bisnes Gagal - Matlamat Bisnes Tidak Jelas

Ramai yang tersilap dengan menyangka bisnes adalah matlamat mereka. Sebenarnya bisnes hanyalah alat bagi mencapai matlamat. Matlamat bisnes anda sepatutnya apa yang bisnes dapat lakukan untuk anda bagi mengecapi apa yang anda hajati dalam hidup.

Matlamat bagaikan arah tujuan anda dalam perjalanan. Anda menetapkan matlamat supaya anda lebih fokus apabila membuat apa-apa perkara. Cerdik pandai ada mengatakan, "Mengetahui apakah matlamat anda dan ingin mencapainya tidak akan membawa anda kepadanya. Tindakanlah yang mampu berbuat demikian."

Nilai matlamat itu bergantung pada bagaimana ia memandu anda di sepanjang perjalanan bisnes anda. Apabila matlamat yang disasarkan sekadar dijadikan sebagai motivasi supaya bekerja lebih kuat, maka matlamat itu tidak dapat menolong anda menyelesaikan masalah yang timbul ataupun memilih keputusan yang tepat dalam bisnes.

Bagaimana hendak membuat matlamat yang terbaik? Bayangkan diri anda pada masa hadapan. Tetapkan tarikh bila matlamat anda tercapai. Gambarkan diri anda pada masa itu. Apa rasanya mencapai kejayaan? Visual inilah yang diputarkan kembali dalam minda anda dari semasa ke semasa. Anda bukan berkhayal, sebaliknya anda sedang mencorak masa depan anda.

Selepas anda rasa bersemangat menentukan arah tuju anda, tulis matlamat itu bercirikan empat perkara berikut:

  1. Sumber inspirasi. Matlamat perlu memberi inspirasi supaya anda bekerja dengan lebih bersemangat. Mendapat hasil bulanan yang memuaskan bukanlah satu matlamat yang boleh memberikan inspirasi. Ayat yang lebih positif seperti mencapai jaminan kewangan mutlak adalah lebih sesuai.
  2. Spesifik. 'Memiliki empayar perniagaan yang besar tentu lebih menyukarkan anda mencapai matlamat berbanding 'Memiliki 50 anak syarikat bertaraf dunia menjelang 1 Januari 2020' lebih jelas.
  3. Jangka pendek dan jangka panjang. Matlamat jangka pendek membolehkan anda membuat penilaian ke atas pencapaian anda dalam masa tiga bulan, enam bulan dan satu tahun pertama. Matlamat jangka panjang pula disasarkan pada lima hingga 20 tahun akan datang dan sepatutnya lebih besar berbanding matlamat jangka pendek.
  4. Realistik. Mula dengan matlamat yang kecil dan boleh dicapai dalam jangka masa yang singkat. Selepas berjaya, anda sudah bersedia melangkah ke matlamat yang lebih besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan